Tujuh sekeluarga cemas, rumah roboh ke dalam laut akibat ribut

Sebuah rumah di Kampung Kolapis, Beluran, roboh ke laut akibat angin kencang. NSTP/Ihsan Bomba

BELURAN — Tujuh beranak berdepan detik cemas apabila rumah atas air milik mereka di Kampung Kolapis, roboh ke laut, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.45 petang itu, rumah berkenaan dilaporkan roboh selepas ditiup angin kencang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, Edoen Macheal, berkat pihaknya menerima panggilan berhubung insiden itu pada jam 5.51 petang.

Berikutan itu, katanya, sepasukan 10 anggota bomba termasuk bomba sukarela dari kampung berkenaan digerakkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, bomba mendapati sebuah rumah hampir tenggelam dan terdapat tujuh sekeluarga di dalam rumah berkenaan.

“Bomba sukarela yang berada berdekatan lokasi kemudian bergegas menyelamatkan semua mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, operasi menyelamat ditamatkan pada jam 6.29 petang. BH