LANGKAWI — Lapan belas pesawat tempur ringan FA-50 yang bakal dibeli Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) daripada Korean Aerospace Industries (KAI) akan dilengkapi versi keupayaan terkini iaitu ‘Block 20’.
Ketua Pegawai Eksekutif KAI, Kang Goo-Young berkata, varian FA-50 Block 20 yang akan dibeli Malaysia lebih canggih dan berkeupayaan lebih tinggi dibandingkan pesawat sama dikendalikan negara lain termasuk Tentera Udara Republik Korea Selatan (ROKAF).
Bercakap secara eksklusif kepada BERNAMA melalui penterjemah, beliau berkata buat masa ini, hanya TUDM dan Tentera Udara Poland sahaja yang memilih untuk varian terkini FA-50 atau lebih dikenali ‘Fighting Eagles’
“Pesawat FA-50 Block 20 untuk tentera udara Poland dan Malaysia adalah versi terkini dan dengan keupayaan tertinggi. Saya ingin katakan keupayaan pesawat itu untuk Poland dan Malaysia adalah serupa.
“Terdapat perbezaan antara FA-50 dikendalikan ROKAF dan Block 20 yang dieksport ke Malaysia dan Poland.
“Perbezaannya adalah versi Korea dikendalikan ROKAF tidak mempunyai radar Jujukan Imbasan Elektronik Aktif (AESA), tetapi hanya radar konvensional dan tidak dilengkapi alat untuk mengenal pasti sasaran (Targeting Pod) dan sistem mengisi minyak,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika sidang Parlimen mengesahkan TUDM akan menerima versi terkini KAI FA-50 iaitu Blok 20 untuk
Perjanjian pembelian pesawat tempur bernilai RM4.08 bilion itu dibuat bersama KAI selaku pengeluar tunggal pesawat Korea Selatan Februari lalu, dengan proses penghantaran pesawat dijangka bermula 2026.
Kementerian Pertahanan dijandual memeterai perjanjian pembelian 18 pesawat tempur ringan FA-50 itu dengan KAI esok sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA’23). BH memetik BERNAMA