Terima pencen penakat lebih RM100,000 selepas 21 tahun suami meninggal dunia

KUALA TERENGGANU — Seorang ibu tunggal seolah tidak percaya apabila menerima faedah pencen penakat lebih RM100,000 selepas lebih 21 tahun suaminya meninggal dunia.

Zaliha Yunus, 57, dari Kampung Surau Haji Yaakub, berkata dia menganggap wang faedah itu adalah rezeki yang tidak dijangka ditinggalkan arwah suami, Ali Embong yang meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada Disember 2002.

“Arwah suami bekerja sebagai pembantu juru ukur dengan sebuah syarikat swasta.

“Ketika meninggal dunia pada 2002, saya membuat semakan dengan PERKESO (Pertubuhan Keselamatan Sosial) tetapi dimaklumkan arwah tidak layak.

“Saya difahamkan arwah berdaftar dengan PERKESO tetapi majikan tidak membuat caruman sejak 1997 menyebabkan waris tidak layak menerima faedah.

“Bagaimanapun, kebetulan anak saudara saya yang juga kakitangan PERKESO terdetik membuat semakan semula dan mendapati majikan ada membuat bayaran caruman secara sekali gus pada 2017.

“Saya bersyukur apabila semakan yang dibuat PERKESO mendapati waris layak menerima faedah caruman tetapi saya tidak tahu berapa.

“Hari ini saya terkejut apabila diberitahu tunggakan wang faedah hasil caruman arwah suami sebanyak RM106.732.79 selain Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM1,500,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya PERKESO Peringkat Negeri Terengganu di Wisma PERKESO hari ini.

Menurut Zaliha, dia bercadang mengadakan majlis kesyukuran selain menggunakan wang berkenaan untuk mengerjakan haji untuk dirinya dan arwah suami.

Berkongsi keperitan menjalani kehidupan selepas kematian suami, Zaliha berkata bagi menyara tiga anak yang ketika itu berusia 10, tujuh dan tiga tahun, dia mengambil upah melipat baju di rumah jiran selain mengasuh bayi dengan pendapatan lebih RM100 sebulan.

Katanya, ketika itu hanya Allah sahaja yang tahu berapa peritnya untuk menyara tiga anak termasuk seorang orang kurang upaya (OKU).

Namun, demi anak, dia membuang rasa malu dan sanggup melakukan apa sahaja pekerjaan yang mampu dilakukannya.

“Hari ini, saya bersyukur sangat-sangat, Allah memberi rezeki yang tidak dijangka.

“Walaupun sudah menerima pencen (penakat) arwah suami, saya akan terus mengambil upah mengasuh kerana dengan hasil mengasuh inilah saya membesarkan anak yang kini sudah berusia 24 dan 21 tahun, manakala anak sulong (OKU) sudah meninggal dunia,” katanya. BH