Suspek 26 rekod ditembak polis di Kundang: 2 lagi rakan sejenayah diburu

KUALA LUMPUR — Polis sedang memburu dua rakan kepada suspek dengan 26 rekod jenayah yang maut ditembak polis di Kampung Baru Kundang, Rawang, Selangor, semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, terdapat dua suspek yang sedang diburu itu disyaki turut terbabit kes jenayah pecah kedai di Damansara, Petaling Jaya.

“Kedua-dua suspek kini dalam buruan polis bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu media melaporkan seorang lelaki yang juga penjenayah dikehendaki dan mempunyai 26 rekod jenayah lampau maut ditembak selepas merempuh kenderaan polis dan orang awam di Kampung Baru Kundang, Rawang.

Lelaki berusia 30-an yang pernah ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) itu disyaki terbabit dalam kes pecah kedai di Damansara.

Dalam kejadian jam 1.15 pagi, suspek mengundurkan kenderaan secara laju dan merbahaya ketika diarah berhenti sebelum merempuh kenderaan polis dan orang awam di lokasi.

Polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan untuk mempertahankan diri sebelum suspek disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Susulan kejadian itu, polis turut menyelamatkan seorang lelaki warga Indonesia yang menjadi mangsa culik suspek.

Mangsa dipercayai diculik di kawasan Salak South, Cheras dan ditemui selamat ketika operasi di Kundang.

Mengulas lanjut, Hussein berkata, lelaki yang menjadi mangsa culik itu sudah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, selepas diselamatkan semalam.

Siasatan lanjut dijalankan Kontinjen Kuala Lumpur mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan.

BH ONLINE