KOTA KINABALU — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan lima penjawat awam, termasuk seorang wanita di sebuah jabatan kerajaan, kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu perpindahan membabitkan beberapa daerah di negeri ini, berjumlah kira-kira RM61,000.
Menurut sumber, kelima-lima suspek dalam lingkungan usia 30 hingga 50 tahun itu dipercayai ditahan antara jam 10 pagi hingga 12.30 tengah hari ketika hadir ke pejabat SPRM Sabah, hari ini.
Katanya, mereka disyaki mengemukakan penyata resit syarikat pengangkutan untuk pembayaran penghantaran barangan rumah dan kenderaan sedangkan perkhidmatan berkenaan tidak pernah dilakukan.
Sementara itu Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi pula mengesahkan tangkapan berkenaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
“Kesemua suspek itu ditahan selama 24 jam untuk siasatan lanjut, dan pihak kami tidak menolak kemungkinan beberapa tangkapan susulan akan dibuat,” katanya.
Beliau berkata, kelima-lima suspek akan dituduh di Mahkamah Khas Rasuah, di sini, pagi esok.
“Susulan siasatan kes ini, pihak SPRM Sabah memberi khidmat nasihat kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Sabah dengan mencadangkan beberapa penambahbaikan pekeliling perkhidmatan sistem dan prosedur berhubung tuntutan perpindahan.
“Kerajaan negeri juga menyambut baik khidmat nasihat itu dan kini dalam proses penambahbaikan,” katanya.
BH Online