KUALA LUMPUR — Yuran pengajian universiti bagi kursus yang dijalankan mengikut sistem pembelajaran hibrid dan jadual anjal dijangka menjadi lebih rendah berbanding yuran pengajian biasa.
Ini kerana penuntut kursus pengajian yang mengikut sistem sedemikian tidak perlu menghadirkan diri secara fizikal di kampus setiap masa serta kurang menggunakan segala kemudahan disediakan pihak universiti.
Ini menimbulkan persoalan sama ada pihak universiti akan berhadapan impak kewangan apabila yuran pengajian banyak kursus pengajian akan dikurangkan, selain menyebabkan kemudahan seperti dewan kuliah, kelas, kolej kediaman akan kurang digunakan.
Mengulas perkara itu, Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman, berkata sistem berkenaan tidak akan memberi impak kewangan kerana pihak universiti perlu kreatif untuk mempelbagaikan sumber pendapatan.
Beliau berkata, secara amnya, yuran yang perlu dibayar oleh pelajar bagi kursus yang menjalani pembelajaran secara hibrid itu akan berkurangan.
“Namun begitu, pihak universiti mesti mempelbagaikan sumber pendapatan mereka seperti peningkatan kemasukan pelajar antarabangsa, peningkatan penawaran program Open and Distance Learning (ODL) serta kursus mikro kredensial.
“Pihak universiti juga boleh mempelbagaikan sumber pendapatan menerusi Strategic Business Unit (SBU) serta projek-projek konsultasi membabitkan penyelidikan dan perundingan,” katanya kepada BH, hari ini.
Ketika ditanya mengenai kos pentadbiran yang perlu ditanggung pihak universiti untuk dewan kuliah, kelas, kolej kediaman yang tidak digunakan pelajar, Ekhwan berkata sistem berkenaan sebenarnya membantu universiti menjimatkan kos khasnya bagi bil dan utiliti.
“Ruangan kemudahan seperti kelas dan juga kolej kediaman boleh disewakan kepada pihak luar mengikut kadar yang ditetapkan agar penggunaannya dapat dioptimumkan.
“Misalnya, di peringkat UKM sendiri menerusi JANA UKM, kita sentiasa menguar-uarkan tentang kemudahan dan fasiliti kita kepada rakan industri, rakan strategik dan masyarakat luar yang ingin menyewa dan menggunakan kemudahan UKM.
“Ini juga satu sumber pendapatan bagi universiti. Pihak universiti perlu menjadi kreatif dalam menjana pendapatan universiti menggunakan kemahiran mereka sendiri,” katanya.
Perkara itu, katanya selari dengan seruan Menteri Pendidikan Tinggi dalam perutusan tahun baharu 2023 yang menyeru agar universiti dapat mempertingkat kemandirian kewangan mereka.
Pada 4 Jun lalu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memperkenalkan sistem pembelajaran hibrid dan jadual anjal, di mana pelajar diwajibkan hanya menghadiri kuliah di kampus pada tahun pertama dan tahun akhir sahaja.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata untuk tahun di pertengahannya pula, mereka akan diberi pilihan dan keanjalan untuk mengikuti pengajian dari rumah tanpa perlu hadir secara fizikal di kelas.
Beliau berkata, setakat ini sebanyak 95 program pengajian Ijazah Sarjana Muda di 19 daripada keseluruhan 20 universiti awam (UA) di seluruh negara bersedia melaksanakan pembelajaran anjal bermula Sesi Akademik 2023/2024. BH