Semalam anak dalam kandungan 8 bulan meninggal, hari ini ibu menyusul

Kemalangan membabitkan sebuah Perodua Myvi terbabas lalu melanggar tembok rumah di tepi jalan, semalam (Gambar kecil, Siti Aisyah). Foto tular/BH ONLINE

KLUANG – Selepas bayi dalam kandungan berusia lapan bulan maut akibat kemalangan di sini, semalam, seorang wanita menyusuli pemergian anaknya itu, hari ini.

Kejadian menyayat hati itu berlaku selepas kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu mangsa, Siti Aisyah Haron, 32, terbabas lalu melanggar tembok sebuah rumah di Kampung Melayu sekitar jam 2.15 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, berkata insiden berlaku ketika ibu sarat mengandung itu sedang dalam perjalanan ke arah bandar Kluang bersama rakannya.

“Semalam kira-kira jam 8 malam, anak dalam kandungan berumur 35 minggu dikeluarkan kerana disahkan telah meninggal dunia dalam kandungan.

“Sekitar jam 1.59 tengah hari tadi, ibunya pula disahkan turut meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK).

“Mangsa disahkan meninggal dunia akibat pendarahan dalaman, termasuk kecederaan pada pankreas dan hati,” katanya.

Beliau berkata, laporan polis berhubung kemalangan itu telah dibuat oleh adik arwah dikenali sebagai Ammar, 30, pada jam 4.11 petang tadi.

Katanya, rakan mangsa dikenali sebagai Siti Aishah Rahimi, 28, yang juga seorang ejen hartanah dilaporkan mengalami kecederaan ringan dan dirawat di HEBHK.

Bahrin berkata, hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati Perodua Myvi terbabit sudah dialihkan dari lokasi ketika pegawai penyiasat menjalankan siasatan, kerana tiada sebarang maklumat awal mengenai kes berkenaan.

“Menurut maklumat daripada pengadu, Perodua Myvi itu dalam perjalanan dari Kampung Melayu menghala ke arah bandar Kluang ketika kejadian.

“Setiba di tempat kejadian, pemandunya dipercayai hilang kawalan lalu melanggar tembok pagar rumah di tepi jalan.

“Pemandu dan penumpang kemudian dibawa ke HEBHK dengan menggunakan ambulans,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

BH ONLINE