KUALA LUMPUR — Ahli Perniagaan yang juga sekutu Jho Low, Kee Kok Thiam disahkan meninggal dunia di hospital pada Isnin lalu selepas diserang angin ahmar secara tiba-tiba.
Susulan itu, peguam mewakilinya, Valen, Oh & Partners berkata, semua pihak perlu menghentikan spekulasi berhubung kematian Kok Thiam.
“Kami meminta semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian malang ini dan memberi ruang kepada keluarga yang sedih atas pemergiannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kok Thiam dibawa pulang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 3 Mei lalu bagi siasatan lanjut berkaitan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Sumber berkata, walaupun suspek meninggal dunia, namun siasatan SPRM terhadap ahli perniagaan itu tetap berjalan.
“SPRM kini berjaya mengesan kembali kira-kira AS$5 juta (iaitu) aset dan wang tunai 1MDB di Singapura.
“Siasatan SPRM tetap berjalan bagi mendapatkan semula dana 1MDB yang dikaitkan dengan mendiang,” katanya. BH