ALOR SETAR — Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, malam ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pulai, Johor selama dua penggal, meninggal dunia pada jam 9.23 malam, ketika masih dalam Unit Rawatan Rapi HSB.
Kematian beliau diumumkan oleh anaknya, Fatihah Salahuddin menerusi perkongsian di Facebook.
“Dukacita dimaklumkan ketua keluarga kami, Salahuddin Ayub, telah menghadap Ilahi pada pada 9.23 malam, 23 Julai 2023,” katanya.
Salahuddin yang juga Timbalan Presiden AMANAH, dikejarkan ke Jabatan Kecemasan HSB, pada jam 10.15 malam Jumaat lalu, untuk rawatan kecemasan selepas mengalami mual dan muntah-muntah.
Pemeriksaan doktor pakar kemudiannya mengesahkan Salahuddin mengalami pendarahan otak.
Beliau kemudiannya menjalani pembedahan pada pagi Sabtu, sebelum ditidurkan di bawah pengawasan rapi pakar pembedahan dan perubatan HSB.
Selain ahli keluarga terdekat, antara kenamaan turut menziarahi Salahuddin di HSB malam ini ialah Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu yang juga Presiden AMANAH dan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mohamad Sanusi Md Nor, turut menziarahi jenazah Allahyarham di HSB malam ini, sejurus menerima perkhabaran mengenai pemergian Salahuddin.
Terdahulu, Dr Zaliha berkata, pembedahan yang dilalui oleh Salahuddin semalam berjaya tetapi beliau masih berada di bawah pemantauan pakar dalam ICU.
Salahuddin meninggalkan seorang balu iaitu Datin Seri Fatimah Taha bersama enam anak.
Sementara itu, Setiausaha Akhbar Salahuddin, Syakirin Husnal, dalam kenyataannya, berkata jenazah Allahyarham sedang diuruskan untuk dihantar pulang ke rumah ibunya di Kampung Serkat (Kopi Tenggek) dekat Tanjung Piai.
“Pejabat Menteri KPDN akan memberikan maklumat lanjut mengenai proses pengurusan jenazah dalam masa terdekat.
“Pihak keluarga Allahyarham ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak atas doa dan ingatan yang diberikan terhadap Allahyarham selama ini.
“Keluarga Allahyarham juga ingin berterima kasih kepada semua doktor dan petugas Hospital Sultanah Bahiyah,” katanya.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata jenazah Allahyarham akan diterbangkan dengan pesawat Penerbangan Malaysia dari Alor Setar ke Johor Bahru jam 1 pagi ini (nanti).
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut berkongsi kesedihan susulan pemergian Salahuddin yang disifatkannya sebagai seorang sahabat yang setia.
“Secara peribadi, ianya satu kehilangan besar buat diri saya dan keluarga, dan saudara Salahuddin teguh bersama dalam perjuangan yang panjang ini sehingga ke akhir hayat. Jasa dan budinya tentunya tidak termampu dibalas secara materi.
“Beliau dikenali kerana punyai sikap keperibadian yang tinggi, sama ada kepada kawan mahupun lawan. Sosok yang kuat bekerja dan sangat taat pada amanah dan tanggungjawab. Berehatlah, sahabatku.
“Semoga Allah SWT memberi kesabaran yang tinggi buat keluargamu, mengampunkan segala dosamu dan semoga saudaraku Salahuddin diberikan tempat yang istimewa di sisi-Nya, Insya-Allah,” katanya menerusi kenyataan malam ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang turut berdukacita sebaik menerima khabat kematian Salahuddin, menyifatkan beliau sebagai seorang rakan Kabinet Kerajaan Perpaduan yang sangat dihormatinya, selain berperwatakan rendah diri, sentiasa komited dan berdedikasi di dalam melaksanakan tanggungjawab beliau.
“Sehingga hujung nyawa beliau prihatin dan terus berjuang memikirkan kesejahteraan rakyat. Negara kehilangan pemimpin hebat. Marilah bersama kita berdoa semoga Allah swt merahmati beliau dan memberikan kesabaran kepada seisi keluarga di atas kehilangan ini,” katanya.
BH Online