FSB tidak menyatakan bila penahanan itu berlaku. Gershkovich boleh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun jika disabitkan kesalahan pengintipan (Internet)
MOSCOW — Agensi keselamatan tertinggi Rusia berkata seorang wartawan Wall Street Journal telah ditangkap atas tuduhan pengintipan.
Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan (FSB), agensi keselamatan domestik dan kontra perisikan tertinggi yang merupakan agensi pengganti utama KGB era Soviet, berkata pada Khamis bahawa Evan Gershkovich ditahan di bandar Pergunungan Ural Yekaterinburg ketika didakwa cuba mendapatkan maklumat sulit.
Gershkovich ialah wartawan pertama untuk saluran berita Amerika yang ditangkap atas tuduhan pengintipan di Rusia sejak Perang Dingin. Penahanannya dilakukan di tengah-tengah ketegangan sengit antara Moscow dan Washington berhubung pertempuran di Ukraine.
Perkhidmatan keselamatan mendakwa bahawa Gershkovich “bertindak atas arahan AS untuk mengumpul maklumat mengenai aktiviti salah satu perusahaan kompleks perindustrian tentera Rusia yang merupakan rahsia negara.”
FSB tidak menyatakan bila penahanan itu berlaku. Gershkovich boleh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun jika disabitkan kesalahan pengintipan.
Gershkovich membuat liputan mengenai Rusia dan Ukraine sebagai wartawan di biro Moscow Wall Street Journal. FSB menyatakan bahawa beliau mempunyai akreditasi daripada Kementerian Luar Rusia untuk bekerja sebagai wartawan.
Laporan terakhirnya dari Moscow, yang diterbitkan awal minggu ini, memberi tumpuan kepada kelembapan ekonomi Rusia di tengah-tengah sekatan Barat yang dikenakan apabila tentera Rusia memasuki Ukraine tahun lepas. AN memetik AP