KANOWIT — Lima belas keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumah panjang didiami mereka di Rumah Pauluu Yan di Sungai Bawan Jalan Nibong Tada, di sini musnah dalam kebakaran tengah hari tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Sarawak berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit dengan bantuan BBP Sungai Merah bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan jam 12.14 tengah hari.
“Sampai di lokasi pasukan bomba mendapati api sedang marak memusnahkan rumah panjang jenis tidak kekal itu,” ujarnya.
Pasukan bomba membantu memadam kebakaran dan memastikan kebakaran tidak merebak ke kawasan lain yang berdekatan.
“Punca kebakaran serta anggaran kerugian dialami masih disiasat,” katanya.
BH ONLINE