Rosmah nafi minta barang kemas daripada syarikat Lubnan

KUALA LUMPUR — Datin Seri Rosmah Mansor menafikan meminta barangan kemas bernilai jutaan ringgit seperti yang didakwa syarikat barang kemas dari Lubnan, Global Royalty Trading SAL.

Isteri bekas perdana menteri itu melalui pernyataan pembelaannya yang difailkan semalam, menegaskan tujuan barang kemas diserahkan kepadanya adalah bagi manfaat dan keuntungan syarikat berkenaan sendiri untuk menarik publisiti serta kredibiliti dalam kalangan pembeli.

Rosmah berkata, barang kemas itu diserahkan kepadanya untuk dilihat atas kehendak dan kerelaan syarikat terbabit (selaku plaintif) tanpa ada kewajipan baginya (Rosmah) untuk membeli.

Katanya, oleh kerana beliau pada masa itu adalah isteri kepada perdana menteri, maka terdapat perniagaan seperti plaintif yang inginkan publisiti berhubung produk dan ingin dirinya menjadi pelanggan mereka.

“Saya menegaskan bahawa klausa wujud di atas memorandum bertarikh 22 Mei 2018 yang dirujuk plaintif sebagai nota konsainan (kiriman) dengan jelas menyatakan barangan itu dihantar untuk dilihat dan diperiksa oleh saya dan sekiranya berminat, maka satu perjanjian penjualan secara berasingan akan dikeluarkan.

“Saya juga mengambil semua langkah yang munasabah dan berhemah untuk menjaga keselamatan barangan itu dan akan memperincikan ciri keselamatan yang diambil semasa perbicaraan kes ini.

“Oleh yang demikian saya tidak boleh dipertanggungjawabkan dengan kehilangan barangan kemas itu kerana ia sudah diambil oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau kerajaan melalui operasi perundangan dan saya bukan penyebab kehilangan barang-barang kemas terbabit,” katanya.

Rosmah berkata demikian ketika menjawab saman kali kedua yang difailkan Global Royalty pada 29 Mac lalu terhadapnya untuk mendapatkan kembali 43 barang kemas bernilai RM67.5 juta dengan menuntut ia dikembalikan atau dipulangkan dalam keadaan munasabah dan baik, dalam tempoh 14 hari daripada tarikh penghakiman.

Sebagai alternatif dan sekiranya barang kemas itu atau mana-mana bahagiannya atas apa sebab mungkin tidak boleh diperoleh semula dan jika ia tidak boleh dipulihkan sepenuhnya atau sebahagiannya, syarikat itu menuntut Rosmah bertanggungjawab membayar kepadanya.

Mengikut penyataan tuntutan, Global Royalty mendakwa Rosmah yang menandatangani nota konsainan, mengakui penerimaan barang kemas itu mengikut terma dan syarat seperti dinyatakan pada 22 Mei 2018.

Syarikat itu berkata, ia memaklumkan membuat beberapa panggilan telefon kepada Rosmah dan memintanya untuk mengembalikan barang kemas berkenaan.

Katanya, selepas itu defendan mengesahkan secara bertulis melalui surat diakui sendiri bahawa barang kemas yang dikonsain (dikirim) kepadanya tiada dalam miliknya tetapi sebenarnya disita pihak berkuasa Malaysia dan kini dalam jagaan mereka.

Selepas beberapa kali meminta dipulangkan barang kemas terbabit, plaintif mendakwa, defendan masih gagal, abai dan enggan memulangkannya.

Sebelum ini, iaitu pada 26 Jun 2018, Global Royalty menyaman Rosmah dan menuntutnya memulangkan atau membayar harga semua barangan kemas berjumlah AS$14.79 juta, tetapi menarik balik tuntutan pada 2019 kerana perlu mengesahkan jika ia berada di Bank Negara Malaysia atau tidak. BH