Remaja maut dipanah petir ketika menjaring ketam

ISKANDAR PUTERI — Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun maut selepas terkena panahan petir ketika menjaring ketam bersama bapanya berdekatan Pulau Merambong di sini, pagi tadi.

Kejadian berlaku kira-kira jam 8.15 pagi sewaktu hujan lebat ketika mangsa bersama bapanya menaiki bot untuk mengambil jaring yang dipasang sebelum dipanah petir.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, berkata ketika kejadian mangsa dikatakan sedang mendapatkan pelampung untuk menarik jaring yang dipasang mereka semalam.

“Ketika kejadian, hanya mangsa bersama bapanya yang berusia 60 tahun berada dalam bot berkenan.

“Bapa mangsa tidak cedera, namun tercampak ke hujung bot berdekatan enjin tetapi masih mampu menyelamatkan anaknya itu dengan menarik tangan remaja terbabit.

“Mereka kemudian dibantu nelayan yang berada berhampiran tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, remaja yang tidak bersekolah dan bekerja sebagai nelayan itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). BH