(Foto hiasan – Unsplash) |
KUALA LUMPUR — Kaji Selidik Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) pada 2019 menunjukkan satu daripada tiga orang dewasa di negara ini mempunyai tahap celik kesihatan yang rendah.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, berkata berdasarkan kajian itu, sebanyak 8.7 peratus golongan dewasa melaporkan menghidapi masalah pergigian sejak dua minggu lalu.
Dapatan kajian sama juga menunjukkan, 29.9 peratus daripada orang dewasa ini merasakan perlu mendapatkan rawatan daripada pengamal pergigian.
Bagaimanapun, beliau berkata ironinya 18.9 peratus orang dewasa berkenaan tidak mengambil apa-apa tindakan termasuk mendapatkan rawatan daripada pakar.
“Sebanyak 17 peratus mendapatkan nasihat daripada seseorang yang bukan pengamal pergigian, manakala 10.1 peratus mengambil ubat tanpa nasihat daripada pengamal pergigian atau pengamal farmasi.
“Justeru, usaha harus diperingkatkan agar lebih ramai masyarakat mempunyai pengetahuan dan kemahiran agar boleh mencari, memahami dan menggunakan maklumat penjagaan kesihatan pergigian.
“Ia bagi mencegah daripada mendapat keadaan atau penyakti pergigian setiap hari untuk membuat keputusan seperti membuat pemeriksaan mulut kendiri di rumah,” katanya.
Teks ucapan sempena pelancaran Dasar Kesihatan Pergigian Kebangsaan sempena sambutan Hari Kesihatan Mulut Sedunia 2023 hari ini, dibacakan oleh Timbalannya, Lukanisman Awang Sauni. BH