Rakyat Malaysia perlu daftar ETIAS untuk lawat negara Eropah mulai tahun depan

KUALA LUMPUR — Rakyat Malaysia yang mahu mengunjungi negara anggota Kesatuan Eropah (EU) dan Zon Schengen perlu mempunyai kebenaran perjalanan Sistem Maklumat dan Kebenaran Perjalanan Eropah (ETIAS) mulai tahun depan.

Zon Schengen adalah sekumpulan 27 negara di Eropah yang sudah menghapuskan sempadan mereka.

Menerusi makluman daripada laman sesawang Schengen Visa Info, permohonan ETIAS perlu dilakukan secara dalam talian dan ia diperlukan untuk pelawat dari negara bebas visa (visa-free) untuk masuk ke Zon Schengen.

Pemegang pasport Malaysia pada masa ini tersenarai dalam 63 negara bebas visa untuk mengakses 30 negara ahli EU dan Zon Schengen.

Bagaimanapun, mulai tahun depan, warga Malaysia perlu membuat permohonan melalui ETIAS yang mana sistem itu beroperasi secara elektronik sepenuhnya bertujuan mengawasi pelawat ‘visa-free’ yang memasuki Zon Schengen.

30 negara yang memerlukan ETIAS adalah Austria, Belgium, Bulgaria, Croatia, Cyprus, Czechia, Denmark, Estonia, Finland, Perancis, Jerman, Greece, Hungary, Iceland, Italy, Latvia, Liechtenstein, Lithuania, Luxembourg, Malta, Belanda, Norway, Poland, Portugal, Romania, Slovakia, Slovenia, Sepanyol, Sweden dan Switzerland.

“ETIAS akan menjalankan pemeriksaan keselamatan terperinci ke atas setiap pemohon untuk menentukan sama ada mereka boleh dibenarkan memasuki mana-mana negara Zon Schengen.

“Walaupun rakyat dari negara yang tidak memerlukan visa untuk tujuan perjalanan sehingga 90 hari di EU, ETIAS akan memastikan bahawa mereka ini bukan ancaman keselamatan,” katanya.

Katanya, sistem kebenaran perjalanan ini akan mengumpulkan, menjejaki dan mengemas kini maklumat yang diperlukan berkenaan pelawat untuk menentukan sama ada selamat untuk mereka memasuki negara Schengen.

Menurut laman sesawang itu lagi, setiap pemohon ETIAS akan dikenakan bayaran Euro 7 (RM36) namun tiada bayaran dikenakan untuk pemohon di bawah umur 18 tahun dan ETIAS akan sah untuk tempoh tiga tahun.

BH