Proklamasi Melayu sukar tarik sokongan orang muda – Tun M

SHAH ALAM – Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui sukar menarik golongan muda untuk menyokong serta menandatangani Proklamasi Orang Melayu yang bertujuan menyatukan orang Melayu melangkaui garis politik.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, ini kerana golongan orang muda tidak mengikuti sejarah negara serta perjuangan pemimpin terdahulu.

“Kita hadapi masalah dengan orang muda kerana mereka tidak mengikuti sejarah negara, perjuangan negara kita.

“Banyak daripada orang muda tak faham. Dia cakap mereka sekarang ‘okay’, tapi dia berada dalam keadaan ‘okay’ sekarang sebab kita (perjuangan pemimpin terdahulu),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas majlis pertemuan dengan masyarakat mengenai Proklamasi Orang Melayu di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini, hari ini.

Mahathir sebelum ini mengajak seluruh parti politik khususnya yang mempunyai keahlian Melayu menyokong serta menandatangani Proklamasi Tanah Melayu yang diasaskan beliau.

Jemputan meliputi orang Melayu yang juga ahli UMNO, PKR dan Parti Amanah Negara (AMANAH), selain segelintir yang ada dalam DAP yang berkongsi kesedaran ditimbulkan oleh proklamasi terbabit.

Mahathir menegaskan, apabila orang Melayu dapat bersatu dan bersetuju dengan kesedaran ditimbulkan proklamasi, maka ia menjadi tanggungjawab setiap parti yang berlandas perjuangan Melayu.

BH