KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki warga Yaman selepas mencabul dua remaja perempuan di sebuah kedai di pusat beli-belah di Bandar Sunway, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, berkata kejadian berlaku pada kira-kira jam 1.30 tengah hari itu membabitkan dua mangsa pelajar di sebuah universiti.
“Mangsa masing-masing berusia 17 dan 18 tahun itu mendakwa dicabul ketika berada dalam sebuah kedai di kompleks beli-belah berkenaan.
“Suspek warga Yaman yang berusia 20 tahun itu ditahan selepas mangsa membuat aduan kepada polis bantuan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Wan Azlan berkata, pemeriksaan lanjut ke atas warga Yaman terbabit mendapati lelaki itu tiada sebarang dokumen pengenalan diri.
“Siasatan mendapati suspek tidak bekerja dan kini direman selama 14 hari hingga 20 Julai bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan,” katanya.
BH