Polis tahan 4 pelajar disyaki pukul rakan sekolah

KOTA SAMARAHAN — Polis menahan empat pelajar Tingkatan Satu dan Dua, di sini, kerana disyaki memukul pelajar Tingkatan satu sekolah sama.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan Deputi Superintendan Brodie Brangka berkata, semua remaja lelaki itu ditahan selepas mangsa membuat laporan di Balai Polis Kota Samarahan, 5.08 petang Isnin lalu.

“Semua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Menurut Brodie, video berdurasi 47 saat menunjukkan mangsa dipukul kesemua suspek turut tular, Isnin lalu.

Katanya hasil penelitian video itu, didapati kesemua suspek dan mangsa adalah pelajar di sekolah menengah di sini.

Brodie berkata pihak pengurusan sekolah berkenaan juga dimaklumkan mengenai kejadian itu. BH