MANJUNG — Seorang pesara kilang berputih mata apabila hilang RM202,787 angkara penipuan dalam talian.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah, berkata pihaknya menerima aduan mangsa berusia 65 tahun pada jam 1.30 petang semalam.
Katanya, penjenayah yang menghubungi mangsa menggunakan modus operandi menyamar sebagai pegawai polis dan mendakwa mangsa terbabit dengan kes jenayah yang memerlukan siasatan berkaitan akaun mangsa.
“Akibat panik, mangsa menurut kehendak penjenayah dengan menyerahkan butiran peribadi termasuk maklumat perbankan.
“Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu apabila mendapati wang dalam akaun bank berkurangan dan kerugian yang dialaminya adalah sebanyak RM202,787,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, jumlah kes membabitkan penipuan menerusi telefon bimbit
direkod bagi Januari sehingga 19 Jun 2023 bagi daerah Manjung sahaja adalah 52 kes dengan kerugian RM2.1 juta.
Mengulas lanjut, Mohamed Nordin berkata modus operandi yang sering digunakan oleh suspek adalah menghubungi mangsa dan menyamar sebagai penguatkuasa, polis, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), mahkamah, institusi kewangan atau syarikat perkhidmatan penghantar barang. BH