Penunggang motosikal maut dirempuh bas ketika cuba memotong

KUALA KRAI — Seorang lelaki maut apabila motosikal ditunggang bertembung bas ekspres di Kilometer 95 Jalan Kota Bharu-Gua Musang, dekat Kampung Manjor, tengah malam tadi.

Dalam kejadian jam 12.10 tengah malam itu, Mohamad Nazrul Shah Mohd Sakari, 19, yang bekerja sendiri mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan di zon merah Hospital Sultan Ismail Petra, di sini.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Mazlan Mamat berkata, siasatan awal mendapati mangsa dari arah Gua Musang menghala Kuala Krai cuba memotong kenderaan di hadapannya sebelum bertembung bas ekspres dari arah Kota Bharu menuju Kuala Lumpur.

“Penunggang motosikal itu cedera parah dan dihantar ke Hospital Sultan Ismail Petra untuk rawatan lanjut.

“Bagaimanapun, dia disahkan meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan di wad zon merah, manakala pemandu bas ekpres serta 45 penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

BH ONLINE