Penolong akauntan KESEDAR ditahan, disyaki pecah amanah RM24.8 juta

KOTA BHARU — Seorang penolong akauntan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) ditahan selepas dipercayai pecah amanah berjumlah RM24.8 juta sejak lapan tahun lalu.

Lelaki berusia 37 tahun itu ditahan jam 12.21 tengah malam tadi oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata suspek ditahan di rumahnya di bandar Gua Musang dan direman tujuh hari bermula hari ini.

Katanya, penahanan dilakukan susulan laporan polis diterima petang semalam berkait salah laku oleh kakitangan KESEDAR.

“Ia berhubung kehilangan wang kerajaan yang diuruskan oleh Bahagian Kewangan KESEDAR melalui Kumpulan Wang Amanah dan Kumpulan Wang Pembangunan dari Disember 2016 hingga Mei 2023.

“Siasatan awal polis mendapati salah laku dipercayai dilakukan oleh lelaki berkenaan yang juga penolong akauntan sejak 2016 hingga Mei 2023.

“Dia didakwa membuat pemindahan wang dari akaun Kumpulan Wang Pembangunan dan Kumpulan Wang Amanah milik KESEDAR ke akaun syarikat miliknya membabitkan jumlah keseluruhan RM24,800,189.73 meliputi 194 transaksi,” katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan. BH