Peniaga rugi RM23,525 diperdaya lelaki buat tempahan makanan secara dalam talian

KOTA KINABALU — Pemilik sebuah restoran di sini, menanggung kerugian RM23,525 selepas diperdaya seorang lelaki menyamar sebagai penjawat awam yang membuat tempahan makanan secara dalam talian.

Individu terbabit menyamar sebagai ‘Sarjan Hafiz’ kononnya daripada Kem Rejimen 507 Askar Wataniah membuat tempahan melalui panggilan telefon sebanyak 150 pek makanan selama tiga hari.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Kalsom Idris, berkata pemilik restoran itu yang yakin dengan tempahan dalam talian bersetuju membekalkan makanan diminta.

Katanya, suspek kemudian menawarkan mangsa menjadi orang tengah antara Kem Rejimen Askar Wataniah dengan sebuah syarikat bagi membekalkan makanan segera (RTE) bernilai RM63,000.

“Apabila pemilik restoran (mangsa) bersetuju, mangsa diminta membuat bayaran deposit sebanyak 50 peratus dan dijanjikan keseluruhan barang akan dihantar ke kedai mangsa.

“Susulan itu, mangsa membuat bayaran RM23,525 ke tiga akaun individu yang diberikan suspek,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kalsom berkata, suspek berjanji akan membuat bayaran keseluruhan ketika mengambil makanan serta RTE di kedai mangsa.

Namun, katanya, suspek tidak mengambil makanan berkenaan dan barang RTE juga tidak diterima serta suspek gagal dihubungi.

“Mangsa kemudian membuat semakan dengan Kem Rejimen 507 Askar Wataniah dan mendapati tiada individu bernama ‘Sarjan Hafis’ serta program di kem berkenaan.

“Mangsa yang berasa tertipu kemudian membuat laporan polis untuk tindakan lanjut pada 30 Mei lalu,” katanya.

Kalsom berkata, setakat ini pihaknya menerima lima laporan polis berkenaan modus operandi sama dan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan peniaga lebih berhati-hati dan memeriksa kesahihan tempahan serta dokumen bagi tempahan secara dalam talian dan tidak terpedaya sehingga melakukan transaksi wang.

“Polis meminta kerjasama semua pihak tampil memberikan maklumat berkenaan kejadian ini bagi membolehkan kita menjalankan siasatan dan menangkap pelakunya,” katanya. BH