Pengunjung terkejut jumpa mayat tergantung di tangga

KOTA BELUD — Pengunjung Plaza Alap Bana, di sini gempar dengan penemuan mayat lelaki dalam keadaan tergantung di bangunan berkenaan, pagi tadi.

Mayat lelaki warga Filipina berusia 24 tahun itu ditemui orang awam sebelum menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud, pada 5.58 pagi.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati lelaki ditemui tergantung di tangga blok C bangunan berkenaan dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Kota Belud sebaik pemeriksaan dijalankan di lokasi kejadian.

“Siasatan lanjut di lokasi kejadian mendapati tiada unsur jenayah berlaku,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Shahrudin berkata, lelaki terbabit disyaki menjerut lehernya sendiri dan kejadian dipercayai berkaitan masalah peribadi.

“Kes diklasifikasi sebagai laporan mati mengejut (SDR),” katanya.

BH ONLINE