ALOR SETAR — Pengguna jalan raya khususnya penunggang motosikal berusia antara 15 hingga 35 tahun dikategorikan sebagai golongan berisiko tinggi untuk menghadapi kemalangan jalan raya termasuk membabitkan kematian.
Pengarah Kanan Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Lokman Jamaan, berkata mengikut rekod jabatan itu kebanyakan kemalangan dan kematian akibat kemalangan jalan raya membabitkan pengguna jalan raya dalam kumpulan umur itu.
Beliau berkata, keadaan itu menunjukkan kesedaran mengenai keselamatan jalan raya dalam kalangan mereka yang berusia 15 hingga 35 tahun masih rendah dan perlu diberikan advokasi agar mereka sedar mengenai risiko dihadapi mereka.
“Berdasarkan rekod, statistik kemalangan dan kemalangan maut mula menurun bagi pengguna jalan raya yang berusia 35 hingga 60 tahun. Boleh juga dikatakan mereka (pengguna jalan raya berusia 15 hingga 35 tahun) adalah kumpulan pengguna jalan raya tertinggi,” katanya pada sidang media sempena Op Hari Raya Aidiladha (HRAA) 2023 di sini, malam tadi.
Selain itu, pengguna jalan raya dalam kumpulan usia berkenaan dikesan paling banyak melakukan kesalahan jalan raya termasuk tiada lesen memandu, kenderaan tiada cukai jalan dan tiada insurans.
Mengulas operasi HRAA yang dilaksanakan pada 27 dan 28 Jun serta 1 Julai, Lokman berkata 55,904 kenderaan telah diperiksa dalam operasi itu di seluruh negara iaitu 37 peratus daripada kenderaan yang diperiksa didapati melakukan pelbagai kesalahan.
Beliau berkata, 20,792 kesalahan dikesan dan telah dikeluarkan notis bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, Akta Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan 1987 dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.
Menurut beliau, kenderaan motosikal pula adalah paling banyak dikesan melakukan kesalahan termasuk tiada lesen memandu serta cukai jalan dan 153 motosikal telah disita.
Beliau berkata, setakat ini Selangor mencatatkan jumlah pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan tertinggi sepanjang operasi itu diikuti Johor dan Negeri Sembilan.
Lokman berkata, 201 kenderaan telah disita sepanjang tiga hari operasi dijalankan dan antara kesalahan yang dilakukan, kenderaan tiada perlindungan insurans.
“Sementara itu, seorang pemandu bas dikesan positif dadah jenis heroin di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur,” katanya.
Beliau berkata, JPJ akan terus mengukuhkan kolaborasi bersama agensi berkaitan bagi mendidik masyarakat agar sentiasa mematuhi peraturan dan berhemah semasa memandu bagi mengelak kemalangan maut.
BH memetik BERNAMA