Pendatang Iraq dilihat di CCTV menikam pelajar dalam cubaan untuk dihantar pulang

DUBAI — Seorang pendatang Iraq yang menganggur dan tidak berduit menikam seorang pelajar dalam usaha untuk dihantar pulang dari UK atas kesalahan jenayah, lapor Sky News pada Khamis.

Dalam rakaman pengawasan video yang dikeluarkan oleh (perkhidmatan pendakwaan) Crown Prosecution Service, Rebaz Mohammed yang berusia 28 tahun dilihat bercakap dengan pelajar kolej itu di taman Southampton pada Disember 2022 sebelum dia menikamnya di belakang.

Mohammed dilaporkan telah membuat pengakuan bersalah di hadapan (mahkamah) Southampton Crown Court, yang memenjarakannya selama enam tahun kerana menyebabkan kecederaan badan dan memiliki pisau di tempat awam.

Lelaki berusia 28 tahun itu telah tiba di UK dengan bot dan telah tinggal di sebuah hotel di Bournemouth, Dorset. Akhbar Southern Daily Echo melaporkan bahawa peguamnya Richard Tutt berhujah di mahkamah bahawa anak guamnya mahu dihantar pulang dan terpaksa melakukan kesalahan serius untuk perkara ini berlaku.

Semasa dia menjatuhkan hukuman terhadap Mohammed pada Februari, Hakim Brian Forster, KC, berkata bahawa mangsa, yang berjaya melarikan diri selepas dikejar oleh defendan, mungkin terbunuh dalam serangan itu.

Jurucakap Pejabat Dalam Negeri tidak mengesahkan sama ada Mohammed akan dihantar pulang atau tidak.

“Pesalah warga asing yang menyalahgunakan layanan kami dengan melakukan jenayah akan menghadapi kuasa penuh undang-undang, termasuk pengusiran secepat mungkin bagi mereka yang layak,” katanya.

Sumber — AN