KOTA BHARU — Seorang pembantu kedai didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan merogol seorang remaja berusia 15 tahun di Taman Merbau Utama Selising, di Pasir Puteh, Julai lalu.
Tertuduh, Muhammad Faiz Firdaus Badrolhisham, 18, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali.
Mengikut pertuduhan, tertuduh merogol mangsa berusia 15 tahun antara jam 11 malam hingga 1 pagi di sebuah rumah di Taman Merbau Utama Selising, Pasir Puteh pada 3 Julai lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 376(1) akta yang sama yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli dan tertuduh diwakili peguam, Muhammad Zulfaqar Al-Basysyar Saharrudin.
Terdahulu, Kamarul Hasyime memohon jaminan dikenakan sebanyak RM30,000 dan bersyarat memandangkan kes berkenaan adalah serius.
Muhammad Zulfaqar Al-Basysyar pula memohon jaminan minima ditawarkan memandangkan anak guamnya hanya bekerja sebagai pembantu kedai dengan pendapatan RM40 sehari.
Katanya, anak guamnya adalah anak sulung daripada dua beradik dan menjadi penanggung tunggal dalam keluarga memandangkan ibu tertuduh tidak dapat bekerja kerana menjaga adik tertuduh yang menghidap kanser tulang.
Mahkamah kemudiannya menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan serta tidak boleh mengganggu saksi.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 14 Oktober sebagai tarikh sebutan semula kes.
BH ONLINE