Pemarkahan SPM tak diturunkan, ikut standard ditetapkan selama ini – Fadhlina

KUALA LUMPUR — Kementerian Pendidikan (KPM) menolak dakwaan pihaknya menurunkan purata gred peperiksaan bagi Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) untuk mencantikkan peratusan di sekolah.

Menterinya, Fadhlina Sidek menegaskan perkara itu adalah spekulasi kerana kementeriannya mempunyai standard tertentu bagi pemarkahan peperiksaan berkenaan.

“Tak betul dakwaan itu kerana KPM mempunyai standard tertentu dalam pemarkahan dan kita sangat menjaga piawaian berkenaan.

“KPM juga harus berlaku adil dalam pemarkahan dan ia harus mengikut merit dan standard yang digunakan selama ini,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Pemerkasaan Bahasa Melayu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor, di sini, hari ini.

Terdahulu tular di media sosial mengenai analisis pemarkahan SPM kerana ia menimbulkan keraguan orang ramai terhadap sistem digunakan kementeriannya.

Ada juga ibu bapa mendakwa ketika peperiksaan besar dilaksanakan di negara ini, terdapat pelbagai pihak cuba memaparkan sekolah terbaik dan pelajar cemerlang walaupun sebenarnya terdapat ‘permainan’ menurunkan graf peperiksaan berlaku.

Ditanya sama ada pihaknya akan mewajibkan mata pelajaran lain untuk mendapat status lulus dalam SPM, Fadhlina berkata, buat masa ini tiada keperluan berbuat demikian dan ia kekal terhadap subjek Bahasa Melayu dan Sejarah saja.

“Setakat ini kita kekal dengan pendirian mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah, malah impaknya juga kita boleh dilihat apabila SPM baru-baru ini Sejarah ada peningkatan yang sangat tinggi dan baik bagi mata pelajaran itu.

“Ia menunjukkan pelajar ini tiada masalah untuk kuasai subjek itu, cuma KPM akan lebih agresif dan perlu melaksanakan penguasaan bagi kedua-dua mata pelajaran berkenaan,” katanya. BH