Pemandu lori dipenjara 15 tahun, 5 sebatan akibat rogol remaja hingga lahirkan anak

TAWAU — Seorang pemandu lori dihukum penjara 15 tahun dan lima kali sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah merogol remaja perempuan berumur 14 tahun sehingga melahirkan bayi perempuan pada 13 Mac lalu.

Hakim Rosli Ahmad menjatuhkan hukuman itu ke atas lelaki terbabit berusia 25 tahun, yang berkuat kuasa dari tarikh tangkapan pada 15 Mac lalu, selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh mengikut Seksyen 376 (2)(d) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan.

Mengikut pertuduhan, pemandu lori itu yang juga sepupu kepada ibu mangsa dituduh merogol mangsa berumur 14 tahun (ketika kejadian) dalam bilik tidur mangsa di Bandar Sri Indah, dekat sini, antara jam 2 hingga 3 pagi, pada Julai hingga Ogos tahun lalu.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Suhaimi Suriana, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mohd Suhaimi dalam hujahnya memohon hukuman berat ke atas tertuduh mengambil kira faktor kepentingan awam, selain tahap keseriusan kes.

Katanya, tahap kekerapan jenayah seksual termasuk kes rogol membabitkan kanak-kanak dan remaja bawah umur juga didapati semakin meningkat sejak kebelakangan ini.

“Hukuman berat juga wajar dikenakan sebagai pengajaran ke atas tertuduh yang mempunyai pertalian darah dengan mangsa, selain faktor trauma dialami mangsa selepas dirogol berkali-kali sehingga melahirkan bayi.

“Malah, tertuduh sedikit pun tidak menunjukkan perasaan insaf atau menyesal atas perbuatannya ketika diberi peluang membuat rayuan,” katanya.

Berdasarkan fakta kes, pada kira-kira jam 3.45 petang 13 Mac lalu, mangsa dibawa ke hospital oleh neneknya selepas mengadu sakit perut dan pemeriksaan doktor mendapati mangsa mengandung 36 minggu sebelum melahirkan seorang bayi perempuan kira-kira jam 7.15 malam, hari sama.

Mangsa kemudian mendedahkan dirogol tertuduh yang tinggal sebumbung di rumah neneknya sebelum tertuduh ditangkap pada 15 Mac kira-kira jam 7.50 malam.

Hasil ujian analisa DNA (asid deoksiribonukleik) mendapati tertuduh adalah bapa kepada bayi BH