Pelancong China maut dihempap pokok tumbang sepatutnya pulang hari ini

GEORGETOWN – Mayat dua pelancong China yang menjadi mangsa pokok tumbang di pekarangan Rumah Agam Pinang Peranakan, Lebuh Gereja, di sini semalam, akan dituntut keluarganya secepat mungkin.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, pihaknya sudah menghubungi waris mangsa menerusi telefon.

“Mereka juga sudah maklum (dengan kejadian). Mereka akan datang tuntut mayat secepat mungkin,” katanya hari ini.

Beliau berkata, laporan bedah siasat ke atas mayat mangsa di Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) mendapati kedua-duanya mati akibat sesak nafas dihempap objek berat.

Razlam juga berkata, mangsa tiba untuk melancong di negara ini pada 14 September lalu dan mendaftar masuk ke hotel di sini sejak Selasa lalu.

“Mereka dijangka mendaftar keluar dan pulang ke China pada hari ini,” katanya lagi.

Semalam, media melaporkan kejadian malang itu yang membabitkan bapa dan anak perempuan yang masing-masing berusia 50-an dan 30-an.

Mangsa lelaki ditemui berada di tempat duduk belakang, manakala mangsa wanita dijumpai di tempat duduk penumpang hadapan.

BH ONLINE