Pelajar perempuan jatuh tingkat 3 sekolah

KUALA LUMPUR — Seorang pelajar perempuan tingkatan tiga patah tulang belakang selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan sebuah sekolah menengah di Kajang dekat sini, pagi tadi.

Polis menerima laporan kejadian itu pada jam 9.20 pagi selepas mangsa ditemui dalam keadaan terbaring, dipercayai jatuh dari tingkat tiga di mana kelasnya berada.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, berkata mangsa kemudian dikejarkan oleh pihak sekolah ke Hospital Kajang untuk rawatan dan disahkan mengalami patah tulang belakang T12 serta cedera di kepala.

Katanya, mangsa yang berusia 15 tahun disahkan mempunyai penyakit mental dan ketika kejadian, dia keluar sendirian untuk ke tandas sebelum dijumpai terbaring di tingkat bawah bangunan sekolah.

“Dalam keterangan ibu bapanya, menyatakan mangsa mengalami penyakit itu sejak tahun 2020 selepas diserang demam panas hingga menyebabkan sawan.

“Sehingga kini mangsa masih menerima rawatan dan pemeriksaan di Klinik Neurology Hospital Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zaid berkata, saksi kejadian menyatakan mangsa pernah beberapa kali bergurau cuba untuk terjun dari bangunan sekolah untuk mendapatkan perhatian rakan sekelas.

“Kebiasaannya mangsa akan ditemani rakan sekelas untuk ke tandas namun semasa kejadian mangsa keluar seorang diri.

“Kes diklasifikasi mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana cuba bunuh diri. Bagaimanapun pihak polis masih menyiasat punca sebenar kejadian,” katanya.

Sehubungan itu, katanya saksi yang melihat atau mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohamad Faeez di talian 013-2773407 atau mana-mana balai polis berdekatan. BH