MUAR — “Dia (mangsa) minta tolong tapi kamu tidak layan, kenapa sampai tergamak kamu memperlakukan sedemikian terhadapnya? Tidakkah ada simpati ke atasnya?”.
Itu kata Hakim Mahkamah Sesyen, Abu Bakar Manat sebelum menjatuhkan hukuman penjara 19 tahun serta lapan sebatan terhadap seorang pekerja kedai langsir yang mengaku bersalah merogol remaja orang kurang upaya (OKU) dalam sebuah kereta di Kluang, awal bulan ini.
Tertuduh, Asmirul Shaqirin Sazali, 27, bukan sahaja merogol malah turut mengaku meliwat dan melakukan amang seksual terhadap remaja berusia 13 tahun.
Dia berhadapan tiga pertuduhan membuat pengakuan bersalah pada 16 Julai lalu namun mengulangi pengakuan sama sebaik semua pertuduhan dibaca sekali lagi oleh jurubahasa di mahkamah hari ini.
Semua kejadian itu dilaporkan berlaku di hadapan sebuah kedai makan, antara jam 8 hingga 9.30 malam, 8 Julai lalu.
Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376 (2) (d) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan juga sebatan.
Bagi kesalahan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan, dia boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan manakala Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Abu Bakar kemudian menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun, lima sebatan bagi kesalahan merogol; enam tahun penjara dan dua sebatan (meliwat) serta tiga tahun penjara dan satu sebatan (amang seksual fizikal).
Mahkamah juga mengarahkan hukuman bagi ketiga-tiga pertuduhan dijalankan secara berasingan bermula dari tarikh tertuduh ditahan 9 Julai lalu.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
BH Online