LABUAN — Seorang remaja berusia 18 tahun yang juga pekerja hotel maut terkena renjatan elektrik dari tiang lampu jalan yang bervoltan tinggi di pusat bandar ini tengah malam tadi.
Ketua Polis Labuan, Superintendan Ahmad Jawila, berkata mangsa dikenali, Ryandeigo Roselee dan berasal dari Sook di Keningau, Sabah dikatakan tersentuh tiang lampu bervoltan tinggi ketika berjalan di laluan berbumbung sepanjang 50 meter yang berpagar, sebelum tercampak ke laluan pejalan kaki.
“Mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di sebelah tiang lampu di laluan pejalan kaki ketika ambulans tiba.
“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian pada jam 12.05 tengah malam,” katanya.
Ahmad berkata, mangsa ditemukan abangnya yang berasa tidak sedap hati selepas menyedari adiknya yang bekerja syif malam itu belum pulang seperti biasa pada jam 11.30 malam.
“Abang mangsa kemudian keluar mencari adiknya dan menemukan si mati di laluan pejalan kaki dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya.
Ahmad berkata, pemeriksaan pada tiang lampu mendapati ia dalam keadaan baik dan tiada wayar hidup terdedah di luar tiang lampu itu.
“Kami telah menutup sementara laluan pejalan kaki sehingga pihak berkuasa tempatan Perbadanan Labuan dan Saba Electricity Sdn Bhd (SESB) mengesahkan laluan itu selamat untuk pejalan kaki,” katanya.
Polis menasihatkan orang ramai berhati-hati semasa berjalan berhampiran talian elektrik yang terdedah terutamanya dalam cuaca berkabus. BH memetik BERNAMA