Padah berbogel untuk teman Facebook, mekanik rugi RM200,000

KUALA KANGSAR — Bimbang gambar bogel dan video tidak senonohnya tersebar menyebabkan seorang lelaki di sini, kerugian RM200,000 selepas menjadi mangsa pemerasan seorang wanita yang dikenalinya melalui laman sosial Facebook (FB).

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri, berkata laporan diterima daripada mangsa yang bekerja sebagai mekanik, pada jam 1.49 tengah hari semalam, menyatakan dia diugut suspek supaya menyerahkan wang kepadanya.

Katanya, hasil soal siasat mendapati mangsa hanya mengenali suspek melalui FB sebelum diminta menerima panggilan video yang dibuat oleh suspek yang mana sejurus panggilan video itu diterima, mangsa mendapati suspek dalam keadaan berbogel, selain melakukan aksi ghairah terhadap mangsa.

Katanya, mangsa yang terpengaruh dengan aksi suspek kemudiannya turut sama berbogel dan melakukan perkara tidak senonoh tanpa menyedari bahawa aksi itu dirakam suspek.

“Mangsa hanya menyedari perkara itu selepas suspek menghantar rakaman terbabit kepadanya, sejurus panggilan video terbabit ditamatkan.

“Suspek menyatakan, sekiranya mangsa enggan membayar, dia akan menyebarkan video rakaman aksi lucah mangsa melalui media sosial,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurutnya lagi, mangsa kemudiannya melakukan pemindahan wang sebanyak 38 kali secara perbankan atas talian kepada lima akaun bank pemilik yang berbeza.

“Mangsa dianggarkan mengalami kerugian sebanyak RM200,000 melalui pemerasan itu,” katanya.

Mohd Yusri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan oleh itu pihaknya menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan individu yang baharu sahaja dikenali melalui media sosial sehingga boleh mempengaruhi untuk melakukan perkara di luar dugaan, seterusnya menjadi mangsa terhadap jenayah pemerasan.

BH