KUALA LUMPUR — Seorang pekebun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini atas tiga pertuduhan menyokong dan memiliki gambar berkaitan kumpulan pengganas Negara Islam (IS), sejak Disember tahun lalu.
Muhammad Sani Mahdi Sahar, 31, yang juga bekas pengajar al-Quran membuat pengakuan berkenaan selepas semua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Datuk Noorin Badaruddin.
“Tidak, tidak (bersalah),” katanya dalam kandang tertuduh.
Mengikut pertuduhan pertama, beliau yang memakai kemeja T didakwa memberi sokongan kepada kumpulan pengganas IS dengan menggunakan aplikasi media sosial Facebook atas nama dalam bahasa Arab, Abu Ibrahim yang kemudian ditukar kepada ‘Oyen Ucuk’.
Perbuatan itu dilakukan di Bahagian E8 Counter Terrorism Cawangan Khas, Tingkat 24 Menara 2 Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, 9 pagi, 19 Disember 2023.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 40 tahun atau denda dan hendaklah dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan dalam melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa memiliki item iaitu tiga gambar dikaburkan dengan keterangan gambar menyatakan individu terbabit berbai’ah kepada Abu Hafsah Al-Hasimi Al-Quroshi yang juga pemimpin IS kelima pada akaun Facebook miliknya yang menggunakan nama sama.
Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa memiliki gambar program memperingati kejadian militan yang berkait dengan IS yang menawan suatu kawasan di Mozambique pada 2020 juga di Facebook sama.
Semua kejadian itu di tempat sama pada 8 malam, 26 Mac dan 9.16 malam, 30 April lalu.
Bagi kedua-dua pertuduhan ini, beliau didakwa mengikut Seksyen 130JB (1) (a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut peruntukan sama, iaitu penjara sehingga tujuh tahun, manakala harta digunakan dalam melakukan kesalahan itu boleh dirampas.
Dalam kes ini, tertuduh diwakili peguam, Asiah Abd Jalil manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Mat Radzi.
Mahkamah menetapkan sebutan kes itu pada 19 November ini.
Pada Mac 2016, tertuduh dipenjara 18 bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi di sini kerana memiliki 30 video berkaitan pengganas.
Dua tahun kemudian iaitu Julai 2018, mahkamah sama menjatuhkan hukuman penjara enam tahun terhadap tertuduh atas tiga pertuduhan memiliki item berkaitan kumpulan pengganas IS.
BH ONLINE