Op Selamat 20: Cuai, masuk laluan bertentangan, mengantuk punca utama kemalangan maut

KUALA LUMPUR — Masuk laluan bertentangan, cuai ketika memandu serta memandu dalam keadaan mengantuk dan letih, antara tiga punca utama kemalangan maut dikenal pasti berlaku sepanjang Op Selamat 20 sempena Aidilfitri pada 20 hingga 27 April lalu.

Sejumlah 140 kes kemalangan maut dengan 146 kematian direkodkan melalui Op Selamat kali ini berbanding 139 kes kemalangan maut dengan 145 kematian pada Op Selamat 18 yang dilaksanakan sempena Aidilfitri tahun lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata penunggang dan pembonceng motosikal mencatatkan menjadi penyumbang tertinggi angka kemalangan maut dengan 94 kematian.

“Penunggang dan pembonceng motosikal kekal penyumbang utama bagi kes kematian sepanjang Op Selamat kali ini dengan 94 kematian.

“Ia menunjukkan peningkatan sembilan kematian berbanding 85 kematian yang dicatatkan semasa kempen Op Selamat 18, tahun lalu,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penganugerahan Kontinjen dan Daerah Terbaik Op Selamat 20 sempena Aidilfitri 2023.

Mengulas lanjut punca kes kemalangan maut, beliau berkata terbabas sendiri menjadi punca dalam sebanyak 44 kes, diikuti faktor memasuki laluan bertentangan sebanyak 20 kes serta keletihan atau mengantuk sebanyak 20 kes.

Acryl berkata, dalam Op Selamat 20 juga, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 12,023 laporan balik kampung iaitu 6,856 menerusi aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP), 312 laporan melalui Hotline 999 dan 4,855 laporan diterima menerusi Borang Balik Kampung.

“Sebanyak 71,208 rondaan dijalankan ke atas kediaman dan premis ditinggalkan membabitkan rondaan Unit Kereta Peronda (MPV), Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan elemen balai.

“Bagi kes jenayah pecah rumah pula, sebanyak 270 kes dilaporkan sepanjang Op Selamat 20 berbanding 266 kes semasa Op Selamat 18 lalu, meningkat empat kes (1.5 peratus),” katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada pasukan sahabat iaitu agensi penguatkuasaan lain yang bersama-sama PDRM dalam memastikan Op Selamat 20 berjalan lancar.

Antara pasukan sahabat adalah Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM), PLUS, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), RELA dan Angkatan Perkhidmatan Awam (APM). BH