Nahas bas – trak, 17 maut, 29 cedera di Mesir

KAHERAH — Sebuah bas penumpang merempuh sebuah trak yang bergerak perlahan di lebuh raya di barat daya Mesir, mengorbankan sekurang-kurangnya 17 orang, kata pegawai dan media tempatan pada Khamis.

Nahas berlaku lewat Rabu di wilayah New Valley, menurut gabenornya, Mohamed el-Zamlout.

Dua puluh sembilan yang lain cedera, kata Kementerian Kesihatan, sambil menambah bahawa 26 ambulans dihantar ke tempat kejadian untuk memindahkan mangsa ke hospital dan bilik mayat berdekatan.

Tidak jelas siapa di luar bas yang cedera atau terbunuh, dan pihak berkuasa tidak menjelaskan secara terperinci punca nahas itu.

Akhbar tempatan, el-Shorouk, memetik seorang pegawai yang tidak dinamakan sebagai berkata bas itu merempuh trak yang “hampir parkir” di jalan raya.

Ia melaporkan bas itu membawa 45 orang menuju ke ibu negara, Kaherah.

Kemalangan lalu lintas maut meragut ribuan nyawa setiap tahun di Mesir, yang mempunyai rekod keselamatan pengangkutan yang lemah.

Perlanggaran itu kebanyakannya berpunca daripada kelajuan, jalan raya yang teruk atau penguatkuasaan undang-undang jalan raya yang lemah. AP