KUALA KANGSAR — Seorang parah dan dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan tujuh kenderaan di Kilometer 257 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara iaitu kira-kira tiga kilometer dari Terowong Menora, di sini, malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata kemalangan itu membabitkan lima kereta dan dua motosikal.
Beliau berkata, panggilan berhubung kejadian diterima pada jam 10.28 malam tadi dengan anggota dari Balai Bomba dan Penyrlamat (BBP) Kuala Kangsar dibantu keanggotaan BBP Meru Raya digerakkan ke lokasi.
Katanya, kemalangan itu menyebabkan seorang parah, dua cedera ringan, manakala lima yang lain tidak cedera.
“Mangsa yang parah adalah seorang wanita memandu PERODUA Myvi dengan kenderaan itu didapati dalam keadaan terbalik akibat kejadian, manakala dua mangsa yang cedera menaiki sebuah motosikal Yamaha Avantiz.
“Selain itu, empat mangsa masing-masing memandu kereta berasingan dan seorang penunggang motosikal jenis Yamaha Y15 tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sabarodzi berkata, anggota bomba membantu pihak pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil mangsa yang parah dihantar ke hospital menggunakan ambulans, manakala dua mangsa yang cedera ringan diberi rawatan awal dan dihantar ke hospital.
Katanya, operasi menyelamat membabitkan 20 anggota dan empat jentera itu tamat jam 11.49 malam tadi.
BH ONLINE