KUALA LUMPUR — Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mempertahankan kenyataan beliau mengenai usaha mempromosikan Malaysia sebagai negara berbilang bangsa sebagai tidak menepati Perlembagaan.
Memberi contoh United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS) Australia, bekas Perdana Menteri itu berkata meskipun ramai bangsa lain menjadi warga negara tetapi negara-negara ini tidak menjadi negara berbilang bangsa.
“Mereka masih kekal sebagai UK, AS dan Australia. Bangsa mereka masih British, ‘American’ atau ‘Australian’, bukan ‘British Indian’, ‘German American’ atau ‘Malayan Australian’.
“Pemberian perlindungan undang-undang kepada orang asing yang diberi kerakyatan adalah perkara biasa. Ia tidak menjadikan (sesebuah) negara (itu) sebagai negara berbilang bangsa,” katanya melalui kenyataan di Facebook, hari ini.
Sebelum ini, Timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh, mendakwa kenyataan Mahathir mengenai status Malaysia sebagai negara berbilang bangsa bertentangan dengan Perlembagaan sebagai salah dan tidak berasas.
Memetik Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, Ramkarpal berkata artikel itu adalah bukti struktur asas identiti berbilang kaum Malaysia.
Ia juga memperuntukkan bahawa agama selain Islam, boleh diamalkan secara bebas di mana-mana bahagian Persekutuan.
Mahathir yang juga bekas Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) bagaimanapun menyanggah kenyataan Ramkarpal dengan menyatakan bahawa Malaysia adalah sebuah negara Melayu.
“Perlembagaan Malaysia tidak mendakwa bahawa Malaysia adalah negara pelbagai bangsa. Dengan bahasa kebangsaan, adat istiadat dan dengan beraja Melayu, Perlembagaan mengesahkan bahawa negara ini adalah negara Melayu.
“Dengan menerima warga negara dari bangsa lain tidak menjadikan Malaysia negara berbilang kaum,” katanya.
BH