LAHAD DATU — Mayat bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan ditemui atas longgokan sampah di tempat pembuangan di Fajar di sini, malam tadi.
Mayat bayi berbalut sehelai kemeja kelabu itu ditemui kira-kira jam 11.30 malam.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dr Rohan Shah Ahmad, berkata mayat ditemui pemandu lori warga tempatan berusia 44 tahun ketika memungut sampah di kawasan berkenaan.
“Lelaki terbabit adalah pemandu lori kontraktor pembersihan yang ketika itu memungut sampah di kawasan berkenaan.
“Mayat bayi itu ditemui atas longgokan sampah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, sepasukan pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu diarah ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan.
“Mayat bayi dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Lahad Datu bagi proses bedah siasat manakala kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat secara sulit,” katanya.
Rohan Shah berkata, pihaknya sedang mengesan suspek kejadian itu dan oramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Hotline IPD Lahad Datu di talian 089-881255 atau pegawai penyiasat kes Inspektor Sophie Thomas Kasau di talian 013-9392505.
BH Online