Mat London koma sebulan sebelum tutup mata

Allahyarham Mat London aktif mengarahkan drama dan filem selama hampir 40 tahun dalam industri seni.

KUALA LUMPUR — Pelakon dan pengarah, Allahyarham Ahmad Ibrahim atau Mat London, 74, berada dalam keadaan koma hampir sebulan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebelum menghembuskan nafas terakhir, jam 5.57 pagi ini.

Anak keempat, Salmany Akir Ahmad, 42, berkata, keadaan kesihatan arwah semakin merosot hari demi hari sejak dimasukkan ke HKL pada 13 Jun lalu.

“Semalam keadaan arwah semakin lemah menyebabkan doktor memanggil ahli keluarga berkumpul.

“Saya tiba di hospital kira-kira jam 10.30 malam. Saya bersama adik-beradik berada di sisi arwah ketika menghembuskan nafas terakhir selepas azan subuh.

“Keadaan arwah memang merosot selepas tiga hari berada di HKL dan terpaksa ditidurkan.

“Arwah berada dalam keadaan koma hampir sebulan, sebelum meninggal dunia,” katanya kepada BH Online.

Salmany berkata, arwah menghadapi masalah jantung dan dikejarkan ke HKL selepas terbatuk-batuk dan berada dalam keadaan lemah ketika bertemu rakannya atas urusan kerja.

“Arwah mempunyai masalah jantung dan pernah dirawat di Institut Jantung Negara (IJN). Arwah juga pernah koma ketika di Kelantan, beberapa tahun dulu.

“Walaupun sedih dengan pemergian arwah, kami sekeluarga reda atas dengan pemergiannya,” katanya.

Jenazah Allahyarham Mat London dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Melawati selepas solat Jumaat.

Salmany berkata, buat masa ini, jenazah arwah masih berada di HKL.

“Insya-Allah, sebaik urusan di hospital selesai, jenazah bapa akan dibawa ke Masjid Taman Melawati untuk disolat dan disemadikan.

“Kami sedang menunggu adik dari Kedah dan sedang membahagikan tugasan. Urusan solat dan talkin akan dilakukan adik-beradik kerana mereka adalah pelajar tahfiz.

“Sekiranya segala urusan selesai segera, berkemungkinan jenazah arwah akan dikebumikan lebih awal.

“Sebarang perubahan jadual akan dimaklumkan,” kata Salmany.

Allahyarham Mat London meninggalkan lapan cahaya mata, enam menerusi perkahwinan pertama, manakala dua lagi bersama bekas isteri yang juga pelakon, Fadilah Mansor.

Selepas bercerai Fadilah pada 2012, pelakon drama Kampung Pisang Bersiri-siri itu tidak pernah berkahwin dan tinggal bersama pembantunya di Taman Melawati.

BH Online