KUALA LUMPUR — Malaysia mengutuk tindakan pihak berkuasa Sweden kerana memberikan kelulusan kepada individu melakukan tindakan provokatif dengan membakar al-Quran di sebuah masjid di Stockholm, semalam.
Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata tindakan itu ternyata menyinggung perasaan umat Islam di seluruh dunia ketika sambutan Hari Raya Aidiladha.
“Tindakan itu ternyata mencemarkan kitab suci dan ia sekali gus melanggar prinsip untuk menghormati serta memahami semua agama dan kitab suci masing-masing.
“Keputusan oleh mahkamah Sweden bukanlah satu langkah progresif dalam usaha kita meningkatkan rasa hormat dan persefahaman untuk kebaikan bersama,” katanya dalam Twitter hari ini.
Semalam, seorang lelaki berasal dari Iraq bertindak membakar al-Quran di luar sebuah masjid di Stockholm, Sweden sehingga mencetuskan kemarahan Turkiye ketika Sweden berusaha menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Perbuatan biadap itu dilakukan dua lelaki di luar masjid utama di ibu negara Sweden menjelang sambutan Aidiladha.
Lapor Daily Mail, kira-kira 200 penduduk menyaksikan perbuatan Salwan Momika yang membakar kitab suci itu. Pada mulanya, Salwan dilihat mengoyakkan beberapa helaian al-Quran sebelum mengelap kasutnya.
Dia kemudian meletakkan hirisan bacon sebelum membakar kitab suci umat Islam itu.
Sementara itu, seorang individu yang bersama Salwan pula dilihat melaungkan kata-kata menggunakan alat pembesar suara.
Insiden itu berlaku selepas polis meluluskan permit membenarkan lelaki itu melakukan perbuatan demikian.
Dilaporkan, dua minggu lalu mahkamah rayuan Sweden menolak larangan polis terhadap protes membakar al-Quran yang menimbulkan kemarahan dalam kalangan umat Islam di seluruh dunia.