LHDN sedia beri penjelasan kepada MKI

KUALA LUMPUR — Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bersedia memberi penjelasan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada kepada Jawatankuasa Muzakarah, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) berhubung kajian syarak terhadap kewajipan oleh waris membayar tunggakan cukai yang ditinggalkan si mati.

Pengarah Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Ranjeet Kaur, berkata ketika ini undang-undang mengenai pembayaran tunggakan itu sudah pun ada dan bukan perkara baharu.

“Ya, kami bersedia untuk memberi penjelasan (kepada MKI) mengikut perundangan yang ada (Seksyen 74 dan Seksyen 106 Akta Cukai Pendapatan 1967 atau ACP 1967).

“Undang-undang itu (sekiranya si mati masih mempunyai cukai tertunggak, LHDN boleh memungutnya daripada waris atau pentadbir harta pusaka) juga bukan sesuatu yang baharu diperkenalkan,” katanya kepada BH.

Ranjeet bagaimanapun turut menegaskan bahawa LHDN sentiasa bersedia untuk membantu pembayar cukai, sekiranya mereka berdepan sebarang masalah berkaitan pembayaran cukai berkenaan termasuk yang tertunggak.

“Kami sentiasa sedia membantu, khususnya kepada mereka yang mempunyai cukai tertunggak. Mereka boleh hadir ke mana-mana pejabat kami untuk aturan pembayaran secara ansuran berdasarkan merit kes,” katanya.

Kelmarin, BH melaporkan satu kajian syarak akan dijalankan berhubung peruntukan undang-undang yang memerlukan wakil sah atau pentadbir harta pusaka pembayar cukai yang meninggal dunia, membayar tunggakan cukai ditinggalkan si mati.

Inisiatif itu digerakkan oleh MKI bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi mengelak kekeliruan Islam di negara ini mengenai pembayaran cukai tertunggak individu yang meninggal dunia.

Pengerusi MKI, Datuk Dr Nooh Gadut, memaklumkan pada peringkat awal, pihaknya dan JAKIM akan mendapatkan maklumat terperinci daripada LHDN berhubung perkara itu.

Terdahulu, isu berkenaan menerima pandangan berbeza daripada dua mufti dalam konteks syarak. Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berpandangan harus dibayar tunggakan cukai itu sambil memetik hadis diriwayatkan Imam At-Tirmidzi yang menyebut ‘roh atau jiwa orang beriman itu tergantung dengan hutangnya sehinggalah dibayar atau dilunaskan’.

Bagaimanapun, Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman, berpandangan berdasarkan syariat Islam, pewaris harta pusaka pembayar cukai pendapatan yang sudah meninggal dunia, tidak perlu membayar cukai tertunggak ditinggal si mati.

Khamis lalu, BH dalam laporan eksklusif, memetik Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Datuk Dr Mohd Nizom Sairi, berkata waris bertanggungjawab sepenuhnya terhadap sebarang komitmen si mati, termasuk pengurusan cukai pendapatan.

Seksyen 74 ACP 1967 menetapkan sebarang tunggakan cukai pendapatan tidak boleh dihapuskan secara automatik walaupun individu terbabit disahkan meninggal dunia.

Sebaliknya, surat rasmi akan dihantar kepada wakil sah atau pentadbir harta pusaka si mati bagi menuntut mereka melunaskan tunggakan cukai pendapatan yang hanya akan dihapus kira selepas suatu tempoh apabila semua prosedur berkenaan dilaksanakan.

Mengikut Seksyen 74 ACP 1967, waris atau wasi boleh dikenakan taksiran cukai seperti taksiran dikenakan ke atas si mati, termasuk menguruskan sebarang tunggakan atau lebihan cukai si mati.

Bagi individu yang meninggal dunia, taksiran cukai akan dibuat untuk pendapatan diterima sehingga tarikh kematian individu terbabit dan taksiran akan dibuat atas nama waris sah.

Waris si mati yang memiliki tunggakan cukai dan gagal melunaskan jumlah berkenaan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 106 ACP 1967. Mereka boleh dihadapkan ke mahkamah sivil bagi prosiding menuntut nilai hutang kepada LHDN. BH