Lewat buka sempadan punca Malaysia di tangga 32 ranking daya saing dunia

KUALA LUMPUR — Kelewatan pembukaan semula sempadan antarabangsa adalah faktor utama penurunan kedudukan Malaysia dalam Ranking Daya Saing Dunia (WCR) Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan (IMD) 2022.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata trend penurunan ranking WCR jelas dilihat kepada negara yang lewat membuka semula sempadan antarabangsa akibat pandemik COVID-19 yang menyaksikan Malaysia berada pada kedudukan ke-32 dalam WCR IMD 2022, turun tujuh tangga berbanding tangga ke-25 pada 2021.

Beliau berkata, jika dibandingkan dengan Amerika Syarikat dan Eropah, Malaysia mengambil langkah berhati-hati sebelum membuat keputusan membuka semula sempadan antarabangsa pada 1 April 2022 dengan mengambil kira dari segi mengimbangi nyawa rakyat dan kelangsungan hidup rakyat.

“Berikutan kelewatan itu berbanding negara lain, menyebabkan kedudukan Malaysia dalam ranking Daya Saing Global jatuh,” katanya pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) berhubung faktor menyebabkan penurunan ranking Malaysia dalam WCR IMD.

Tengku Zafrul berkata, antara faktor lain adalah persepsi komuniti perniagaan tempatan dan antarabangsa terhadap peraturan dan undang-undang yang dilihat sebagai kekangan serta kurang mesra perniagaan.

Sehubungan itu, beliau berkata, MITI sedang memperhalusi cadangan memudahkan perniagaan bagi membantu syarikat tempatan dan luar negara yang ingin melabur di Malaysia. BH