ARAU — Seorang lelaki ditemui rentung bersama alat pemotong rumput di kawasan halaman sebuah rumah di Jejawi, di sini hari ini.
Mayat mangsa dipercayai pekerja pemotong rumput ditemui orang ramai yang melalui di kawasan itu kira-kira jam 6.33 petang.
Ketua Polis Daerah Arau, Superitendan Ahmad Mohsin Md Rodi mengesahkan kejadian itu dengan siasatan awal percaya lelaki itu rentung selepas mesin rumputnya terbakar sebelum menyambar tubuh mangsa.
“Mangsa ditemui dalam keadaan terbaring secara terlentang dan badannya juga sudah mulai mengembung.
“Kita percaya mangsa seorang pekerja pemotong rumput namun butiran dirinya masih disiasat,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Ahmad Mohsin berkata, pihaknya percaya mangsa sudah meninggal dunia tiga hari lalu sebelum ditemui, namun siasatan awal tidak menemui sebarang unsur jenayah.
Mayat dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah di Kangar untuk bedah siasat.
BH ONLINE