Lelaki Nepal pengutip bola golf lemas dalam tasik

JOHOR BAHRU — Seorang lelaki warga Nepal yang bekerja sebagai pengutip bola golf ditemui lemas selepas terjatuh dalam tasik di Jalan Kampung Maju Jaya, Kempas Lama, di sini petang tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Starhill Golf & Country Club di sini, pada jam 4.28 petang tadi.

Beliau berkata, dua jentera fire rescue tender (FRT) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau serta Kempas dan sebuah utiliti Hicom dari Skudai dikerah ke lokasi kejadian.

“Seramai 18 anggota termasuk Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa yang terjatuh ke dalam tasik dan lemas pada jam 3.50 petang.

“Ketika kejadian mangsa yang berusia 27 tahun sedang bekerja mengutip bola golf di kawasan tasik terbabit,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa ditemukan pada jam 5.39 petang pada jarak tiga meter dari lokasi terakhirnya dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Noor Azhan Ahmad tamat pada jam 6.15 petang tadi,” katanya.

BH