Lelaki mati ketika baiki bumbung rumah ibunya

SEGAMAT — Seorang lelaki rebah dan disahkan meninggal dunia ketika sedang membaiki bumbung rumah ibunya di Jalan Buloh Kasap, Pekan Jabi, di sini, tengah hari tadi.

Mangsa berusia 60 tahun, dikatakan rebah secara tiba-tiba ketika melakukan kerja pembaikan bumbung pada jam 12.35 tengahari dan mayatnya tersangkut pada bumbung berkenaan.

Susulan itu, pasukan bomba dipanggil bagi membantu menurunkan mayat lelaki terbabit.

Pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Segamat, Muhd Hazim Abdul Razak, berkata pihaknya menerima panggilan memaklumkan kejadian itu pada jam 12.38 tengahari.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Segamat diketuai Keny Ismol Mohd Noh Rahman tiba di lokasi pada jam 12.45 tengahari.

“Setibanya di lokasi, didapati mayat lelaki berusia 60 tahun itu berada di atas bumbung.

“Komander operasi kemudian mengarahkan anggota membawa mayat mangsa turun menggunakan alat pengusung,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhd Hazim berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan (KKM).

Beliau berkata, pihaknya menyerahkan mayat mangsa kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pada jam 1.30 tengahari.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes itu.

“Mayat lelaki itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Daerah Segamat (HDS) untuk bedah siasat.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

BH