Lelaki dikhuatiri lemas, lori terbabas ke laut

SHAH ALAM — Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas hilang akibat terjatuh ke laut susulan kemalangan membabitkan sebuah lori di dermaga Pelabuhan Barat, Klang di sini, tengah hari tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail, berkata pihaknya menerima panggilan insiden itu pada jam 12.42 tengah hari.

Katanya, kemalangan membabitkan sebuah lori yang terjatuh ke dalam laut dan turut membabitkan seorang mangsa warga tempatan, Mohd Hafiz Abdul Salam, 24.

“Susulan itu, empat pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pulau Indah digerakkan ke lokasi kejadian dengan dibantu 16 anggota BBP Pelabuhan Barat serta BBP Shah Alam bersama sebuah bot.

“Operasi mencari dan menyelamat mangsa sedang giat dijalankan dengan membabitkan empat anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) BBP Pelabuhan Klang. Setakat ini, mangsa masih belum ditemui,” katanya.

Beliau berkata, operasi itu turut mendapat bantuan Pasukan Polis Marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bersama dua bot.

BH ONLINE