JERTIH — Seorang warga emas dijatuhi hukuman penjara 36 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen Besut di sini hari ini, selepas didapati bersalah merogol anak sepupunya, dalam kejadian kira-kira empat tahun lalu.
Hakim, Ahmad Fadhli Mahmud, membuat keputusan itu selepas tertuduh yang berusia 70 tahun didapati bersalah terhadap pertuduhan berkenaan.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol mangsa yang ketika kejadian berusia 15 tahun lapan bulan di sebuah rumah di daerah Besut, jam 10.30 pagi pada pertengahan Mac 2019.
Dia didakwa melakukan kesalahan sama terhadap mangsa di alamat sama pada akhir Mac dan Jun 2019.
Bagi setiap kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan.
Tertuduh dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan.
Mahkamah mengarahkan hukuman penjara berjalan secara berasingan bermula hari ini.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan hukuman terhadap tertuduh dengan jaminan RM15,000.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Rabiatul Adawiah Soupy manakala tertuduh diwakili peguam daripada Tetuan Wan Haron Syukri & Nordin. BH