Lebih 5,000 mualaf didaftar di MAIS sepanjang 2022 hingga Jun lalu

Sebanyak 39 Pusat Pengurusan Pengislaman disediakan bagi memudahkan proses pendaftaran pengislaman terutama di Selangor. - Foto Facebook MAIS

SHAH ALAM — Seramai 5,220 mualaf didaftar pengislamannya di Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sepanjang tahun 2022 hingga Jun lalu.

Pengarah Pembangunan Sosial MAIS, Suhaimi Ismail, berkata pihaknya menyediakan sebanyak 39 Pusat Pengurusan Pengislaman (PPP) berbanding 36 sebelum ini bagi memudahkan proses pendaftaran pengislaman terutama di Selangor.

“PPP bertanggungjawab membantu dan memberi konsultasi kepada mana-mana individu yang berhasrat memeluk agama Islam dengan suci hati dan kerelaan sendiri tanpa paksaan daripada mana-mana individu atau pun pihak lain.

“Selain menguruskan proses pengislaman, PPP juga berperanan membantu MAIS dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) dalam proses penjagaan, perlindungan serta pengajaran kepada mereka.

“Setakat Jun ini, seramai 749 orang yang membuat pendaftaran pengislaman,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, masyarakat amat digalakkan menjadi pemudahcara dengan membantu mereka ke PPP yang berhampiran beserta dokumen berkaitan agar urusan pendaftaran pengislaman dapat dipermudahkan.

Sementara itu, MAIS turut menganjurkan program Program Turun Padang Perkampungan Orang Asli (KOA) Kepau Laut, Pulau Carey bersempena Kempen Bulan Muallaf MAIS, semalam.

Suhaimi berkata, kempen sebulan yang berakhir 31 Julai bertujuan bagi memberi pendedahan kepada masyarakat di Selangor berkaitan pengurusan pengislaman yang dilaksanakan oleh MAIS.

BH Online