PUTRAJAYA — Kerajaan mesti melindungi pelaksanaan gaji minimum selaku hak pekerja dan bukan dilaksana atas kepentingan politik semata-mata.
Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Perusahaan Petroleum dan Kimia (NUPCIW), Datuk Abdul Halim Mansor, berkata Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Bank Negara Malaysia (BNM) pernah menyatakan pada 2018 bahawa gaji minimum pekerja di negara ini mesti dalam kadar RM1,800 hingga RM2,200.
Beliau yang juga bekas Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berkata, Majlis Perunding Gaji turut mencadangkan kadar itu kepada kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang mentadbir negara ketika itu namun ditolak Menteri Sumber Manusia yang mencadangkan kadar RM1,100.
“Pertukaran suasana politik kemudian menyaksikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) mencadangkan gaji minimum RM1,500, namun tindakan itu terlewat empat tahun dan pekerja harus menanggung kos berkenaan secara peribadi.
“Gaji minimum adalah kenaikan kos yang kecil dan tidak menyeluruh kepada majikan dan ia adalah hak pekerja terutama bergaji bawah RM1,500.
“Pekerja dalam perkhidmatan yang mendapat gaji RM1,501 tidak memberi penambahan kenaikan kos kepada majikan,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.
Mengenai pengurangan masa kerja dari 48 jam kepada 45 jam, beliau menegaskan, ia sejajar Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) selain turut merujuk negara yang sudah melaksana pengurangan jam bekerja.
“Pengurangan masa kerja sebenar membawa kebaikan kepada majikan secara timbal balik kerana ia menjimatkan kos penggunaan elektrik dan tenaga.
“Tempoh kerja 48 jam juga menekan pekerja yang hari rehat mereka amat pendek iaitu tidak melebihi 30 jam.
“Masa kerja 48 jam tidak termasuk masa kerja lebih masa yang wajib dilaksanakan atas arahan majikan selama empat jam sehari bersamaan 104 jam sebulan.
“Ini menunjukkan pekerja akan tertekan disebabkan kerja,” katanya.
Abdul Halim berkata, pihaknya melihat hasrat kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing belum berhasil kerana pekerja haram dan sindiket yang membawa masuk golongan itu tidak dihukum dengan berat.
Jelasnya, majikan yang menggajikan pekerja itu juga tidak dikenakan hukuman besar manakala Akta Pemerdagangan Manusia dikatakan tidak dilaksanakan sebaiknya.
“Majikan pekerja asing mendapat faedah pengecualian 13 peratus darioada mencarum ke KWSP dan ini termaktub dalam Akta KWSP.
“Pekerja asing boleh mencarum secara sukarela dan majikan hanya perlu mencarum RM5.
“Timbul persoalan apakah pengambilan pekerja asing adalah untuk ‘keperluan’ atau ‘keuntungan’ dengan menimbulkan isu sektor 3D iaitu kotor, bahaya dan sukar (dirty, danger, difficult).
“Ada rakyat Malaysia memilih bekerja di Singapura dalam sektor 3D dan ini kerana gaji dibayar setimpal dengan kerja yang dipertanggungjawabkan,” katanya.
Menerusi ruangan Soal Jawab BH semalam, Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar mengulas mengenai beberapa perkara dalam pelaksanaan Akta Kerja 1955 (Pindaan 2022) yang terus menjadi polemik, termasuk isu gaji minimum dan jumlah waktu bekerja. BH